
Dr. Shakir Yusop
Patent Executive
January 8, 2026
Perkembangan dunia pada masa kini melahirkan cabaran di dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan awam, perubahan iklim, kecerdasan buatan, dan sebagainya. Salah satu pendekatan untuk menghadapi cabaran ini dengan lebih baik adalah dengan menggalakkan kerjasama di antara pihak akademia dengan industri. Walaubagaimanapun, potensi kerjasama ini masih belum dapat direalisasikan secara sepenuhnya. Terdapat lima halangan utama yang menjejaskan kerjasama ini iaitu konflik harta intelek (intellectual property (IP)), ketidaksepadanan fokus, perbezaan garis masa, struktur pembiayaan yang bercanggah, dan isu kepakaran.
Konflik harta intelek (IP) berpunca daripada kelemahan rundingan berkaitan IP di antara akademia dan industri. Kedua-dua pihak gagal mencari kesefahaman yang akhirnya menyebabkan peluang kerjasama menjadi tergendala. Pihak akademia terutamanya universiti sering menuntut hak pemilikan IP secara menyeluruh dan meluas, selain daripada peluang untuk penerbitan ilmiah kepada umum. Ini bercanggah dengan keperluan industri yang mementingkan pemilikan IP secara eksklusif serta kerahsiaan berkenaan hasil penyelidikan terutamanya yang berpotensi untuk dikomersialkan. Di samping itu, universiti menuntut pemilikan penuh ke atas IP daripada hasil penyelidikan kerana beranggapan ianya telah melibatkan usaha dan penat lelah penyelidik mereka. Syarikat atau firma industri pula menjangkakan hak sebagai pemilik ke atas IP kerana ianya dibiayai atau ditaja oleh pihak mereka.
Selain itu, kerjasama penyelidikan boleh terganggu kerana rundingan yang terlalu rumit. Pejabat pemindahan teknologi di universiti yang masih menggunakan pendekatan dan peraturan rundingan lama akan menjadikan proses kerjasama terlalu ketat dan tidak fleksibel, sekaligus menyukarkan kesepadanan dengan keperluan pihak industri.
Oleh sebab itu, pendekatan yang berhemah adalah penting untuk mengatasi cabaran kerjasama ini supaya manfaat yang terbaik dapat dinikmati semua pihak. Perbincangan berkenaan isu-isu penting perlu dijelaskan terutamanya pembiayaan penyelidikan dan hasil pemilikan IP. Contoh pendekatan yang boleh diambil termasuklah perbincangan awal, pembangunan kerangka kerja relevan, persediaan pelbagai jenis perjanjian, dan pembahagian penyelidikan mengikut kesesuaian.
Kedua-dua pihak akademia dan industri wajar membincangkan perihal IP secara proaktif dari awal, terutamanya untuk memahami keperluan dan jangkaan hasil kerjasama. Pihak industri perlu memahami keperluan penerbitan akademik, manakala pihak akademia perlu memahami keperluan komersial pihak industri. Antara langkah yang boleh diambil termasuklah pelaksanaan awal perjanjian kerahsiaan (non-disclosure agreement (NDA)) yang dipersetujui kedua-dua pihak sebelum memulakan perbincangan yang lebih mendalam. Perbincangan dan persetujuan awal juga boleh menetapkan had yang jelas termasuk skop dan ruang lingkup maklumat yang dilindungi di bawah perjanjian tersebut. Pengurusan garis masa yang realistik juga boleh dibincangkan dari awal, termasuk meletakkan penanda aras jelas yang boleh dicapai dan disemak secara berkala sambil mengambil kira kalendar akademik, fasa kitaran pendapatan industri, serta komitmen lain.
Pendekatan kedua ialah membangunkan kerangka kerja yang fleksibel, telus, dan jelas. Antara contoh perbincangan kerangka kerja adalah berkenaan peluang penghasilan senarai IP yang berbeza daripada satu penyelidikan. Senarai IP ini dikenalpasti sebagai IP utama dan/atau IP sampingan yang sesuai untuk didaftarkan secara perkongsian, eksklusif, dan sebagainya. Antara contoh lain pula ialah pemberian hak kepada pihak akademia untuk meneroka aplikasi atau bidang yang tidak berkaitan langsung dengan IP utama, manakala pihak industri pula diberikan hak eksklusif dalam sesuatu bidang khusus berkaitan pasaran sasaran. Selain itu, penemuan hasil penyelidikan juga boleh didedahkan secara berperingkat kepada umum supaya persaingan komersial dapat dikurangkan atau dikawal dengan strategik. Contoh lain juga termasuk pemecahan projek penyelidikan yang besar kepada bahagian-bahagian kecil yang mempunyai garis masa tersendiri yang lebih spesifik dan jelas.
Pendekatan seterusnya ialah penggunakan lebih daripada satu jenis perjanjian. Perjanjian yang berbeza boleh dipersetujui secara berperingkat mengikut tahap penyelidikan serta kesesuaian kerjasama di antara pihak akademia dan industri. Kedua-dua pihak boleh membincangkan model pemilikan berbeza bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis IP yang akan terhasil, proses penyelidikan yang dibiayai secara langsung, dan penemuan baharu yang tidak dijangka. Sekiranya perjanjian melibatkan komitmen kewangan tambahan, maka syarat dan terma pelesenan wajar mencerminkan peluang ekonomi dan realiti pasaran supaya syarat-syarat yang dipersetujui tidak terlalu menekan pihak-pihak yang terlibat.
Pendekatan keempat pula ialah pembahagian penyelidikan mengikut kesesuaian. Penyelidikan daripada kerjasama akademia-industri boleh dipecahkan kepada bahagian berbeza. Fokus khas boleh diberikan terhadap bahagian utama penyelidikan yang mendatangkan hasil komersial kepada pihak industri yang menitikberatkan kerahsiaan. Selain itu, pihak akademia juga perlu diberikan kebenaran untuk menerbitkan bahagian penyelidikan yang bukan rahsia secara ilmiah dan meluas. Proses penerbitan juga boleh disemak oleh kedua-dua pihak akademia dan rakan industri supaya kandungan maklumat penyelidikan yang penting dan rahsia tidak tersebar. Pembahagian ini juga boleh mengambil kira tempoh masa yang diperlukan untuk penyelarasan maklumat berkenaan proses permohonan paten atau IP lain supaya tidak bercanggah atau bertindih dengan maklumat penerbitan umum.
Jadual Cabaran serta Perbandingan Pendekatan Kerjasama Akademia-Industri.
| Cabaran | Pendekatan Tradisional/Konvensional | Pendekatan Baru | Contoh |
|---|---|---|---|
| Pemilikan IP | Universiti menuntut pemilikan menyeluruh terhadap semua IP yang terhasil daripada penyelidikan yang dijalankan penyelidik/pensyarah. Pusat pemindahan teknologi universiti menggunakan template kerjasama ketat yang digunakan secara seragam untuk semua kerjasama. | Pendekatan kerjasama berbeza berdasarkan jenis dan sumber pembiayaan serta jenis IP yang terhasil daripada kerjasama penyelidikan. Menggunakan rangka kerja fleksibel yang disesuaikan mengikut konteks projek penyelidikan dan tahap hubungan kerjasama di antara akademia-industri. | Sebuah syarikat fotonik (photonics) membangunkan rangka kerja secara berperingkat. Hasilnya, pihak universiti mengekalkan pemilikan asas penemuan asas, manakala syarikat memperoleh hak eksklusif untuk aplikasi khusus dalam sektor pasaran yang relevan. |
| Hak Penerbitan | Pendekatan hitam-putih; sama ada kerahsiaan penuh atau penerbitan tanpa sekatan. | Proses semakan kesesuaian penyelidikan untuk diterbitkan secara berstruktur dengan garis masa yang munasabah, adil, dan dipersetujui kedua-dua pihak. | Satu kerjasama bioteknologi menetapkan tempoh semakan selama 30 hari untuk sesuatu penerbitan oleh pihak akademia, dengan kebenaran tertunda kepada pihak industri untuk meminda dan/atau menyunting maklumat penting dan sensitif. |
| Penglibatan Pelajar (bukan pakar) | Pelajar bebas bekerja dalam penyelidikan dengan hak penerbitan penuh. | Penjelasan dan persetujuan yang jelas berkenaan bahagian yang perlu dirahsiakan dan bahagian yang boleh melibatkan pelajar, termasuk bahagian yang boleh dikongsi serta diterbitkan kepada umum. | Sebuah syarikat semikonduktor mewujudkan beberapa projek yang berjalan serentak. Hasilnya, penyelidikan yang melibatkan penggunaan teknologi teras akan dikendalikan oleh penyelidik industri dan penyelidik pakar, manakala penyelidikan yang melibatkan penggunaan teknologi sokongan (bukan utama) boleh melibatkan pelajar. |
| Hak Pengkomersialan | Universiti mengekalkan hak untuk mengkomersialkan IP yang terhasil daripada kerjasama. | Pembahagian hak IP berdasarkan bidang penggunaan, dengan fasa pelesenan yang berbeza tetapi jelas dan dipersetujui. | Syarikat yang terlibat dalam kerjasama berkenaan bidang peranti perubatan diberikan hak eksklusif penggunaan aplikasi tersebut dalam sektor penjagaan kesihatan, manakala rakan kerjasama iaitu pihak universiti diberikan peluang untuk meneroka potensi aplikasi tersebut dalam sektor alam sekitar. |
Secara kesimpulannya, isu pemilikan IP merupakan antara faktor utama penghalang kejayaan kerjasama akademia-industri. Kedua-dua pihak perlu berbincang dengan berhemah untuk menjayakan kerjasama penyelidikan ini. Keperluan kesemua pihak boleh dipenuhi dengan suatu perbincangan yang jelas dan spesifik untuk membentuk perjanjian IP yang seimbang. Selain itu, kesediaan untuk menyesuaikan perjanjian dan rangka kerja perlu sentiasa diperkemaskini supaya kerjasama ini akan mampu menzahirkan penyelidikan yang dinamik dan cemerlang. Hasilnya, ekosistem yang terbentuk akan mampu memacu ekonomi negara melalui pemerkasaan kesedaran, pemilikan, dan penggunaan harta intelek.
Artikel ini diterjemah dan diolah daripada laporan kertas putih; “Industry-Academia Partnerships: Bridging the Divide, TurningScience White Paper, June 2025”
